Wednesday, May 6, 2009

Tolak MPP tidak cerdik

HKO sudah dapat membayangkan suasana pilihan raya kampus yang akan datang, pasti dramatik dan elemen kebodohan juga pasti akan menyerlah kembali. Di UKM sendiri, masa itu tidak terlalu jauh rasanya. Didalam keadaan MPP Aspirasi pada hari ini tersangat lemah, apabila MPP-MPP ini hanya teruja untuk melancong ke luar negara dan ke institusi-institusi mewah didalam negara, keterujaaan mereka untuk berpakaian cantik, keterujaan mereka untuk dilihat sebagai ‘tokoh’ di UKM, dan yang amat hina, ada MPP Aspirasi yang teruja untuk berdampingan dengan menteri-menteri, UMNO dan sedang berusaha dengan sangat aktif untuk membina masa hadapan yang murah, dengan memanfaatkan pengaruh orang tertentu, didalam UKM dan diluar UKM. Presiden sendiri kelihatannya sangat lemah. Kesilapan terbesar disebalik kelesuan kepimpinan Aspirasi ini ialah presiden mereka, merupakan seorang yang tidak berbakat langsung dalam kepimpinan. PMUKM bukan suatu organisasi seperti Sekretariat Pesta Konvo.

Dipihak MPP GMUKM pula, anda sedang mencipta kejatuhan anda sendiri. Sikap anda yang kelihatannya terlalu berteoristik, berfalsafah dan ber’pelembagaan’, nyata mengundang kejelikkan ramai pihak. Budaya kritik dengan membuta tuli ini sangat memalukan bagi mahasiswa yang kononnya mendukung idea Islam. Assabiah anda dan sifat elitis anda nyata akan membunuh gerakan anda sendiri.

Jika ditanya kepada HKO, siapa yang akan disokong untuk pilihanraya kampus yang akan datang? Aspirasi atau GMUKM? jawapannya, tidak satu pun, jika beginilah calon MPP kita. MPP sayur kedua-duanya. Kami akan menolak calon-calon yang berkepentingan dan pastinya akan menolak calon yang merasakan anda, sebagai MPP adalah ketua kepada mahasiswa. Anda tidak layak.

-Pendekar Setiausaha Sulit Kanan Poyo

Monday, March 23, 2009

Berbeza tetapi Sama

Beberapa ketika yang lepas, saya telah berbual dengan salah seorang penggerak HKO. Beliau telah menceritakan kepada saya tentang tindakan sebuah blog yang dimiliki oleh sebuah organisasi di UKM yang telah memadamkan komen yang beliau tulis di dalam "shoutbox" blog tersebut. Menurut beliau komen yang ditulisnya ialah tentang kritikan terhadap salah seorang penggerak penting di dalam organisasi tersebut. "IP" teman saya ini juga telah di blok. Untuk pengetahuan para pembaca blog tersebut ialah milik organisasi yang dikenali di UKM ini sebagai salah satu organisasi yang lantang memperjuangkan kebenaran, berani dan dianggotai oleh mereka yang "hebat-hebat". Selepas mendengar ceritanya kami lantas membuat keputusan untuk menulis sekali lagi di dalam "shoutbox" itu untuk menyatakan kekesalan kami berhubung tindakan mereka. Namun kami kecewa kerana kami tidak dapat menghantar komen kerana "IP" saya juga telah di blok. Tidak putus asa, saya telah menggunakan "IP" seorang lagi penggerak HKO, namun ceritanya tetap sama. Saya kemudian cuba untuk memberi komen kepada artikel yang ditulis oleh mereka namun keadaannya tetap sama.

Apa yang menjadi kekesalan ialah organisasi ini merupakan organisasi yang pada mulanya amat kami segani kerana keberanian mereka menyatakan kebenaran tanpa menghiraukan ugutan daripada pihak pentadbiran yang sentiasa menyebelahi seteru mereka. Dalam erti kata lain kami pada mulanya adalah penyokong kepada organisasi ini kerana keberanian tersebut. Tetapi tindakan mereka terhadap teman saya itu benar-benar sesuatu yang tidak saya sangka. Bagi pendapat saya jika komen yang ditulis oleh teman saya itu tidak benar mereka sepatutnya membalasnya dengan fakta ataupun menjawabnya secara ilmiah. Tindakan memadam komen tersebut dan juga tidak membenarkan artikel mereka dikomen membuatkan saya terfikir adakah mereka ini betul-betul memperjuangkan kebenaran. Ini kerana jika betul mereka memperjuangkan kebenaran seperti yang pernah diungkapkan oleh salah seorang 'orang kuat' mereka, mereka tidak sepatutnya berbuat demikian. Mereka sepatutnya membiarkan diri mereka dikritik kerana mereka tidak selalunya betul dalam semua perkara. Lagipun mereka bukanlah malaikat yang sentiasa betul malah Nabi Muhammad juga pernah ditegur oleh Allah SWT. Malah dalam prinsip demokrasi yang sentiasa mereka laung-laungkan itu terselit satu aspek penting iaitu kebebasan bersuara untuk semua orang.

Maka amat peliklah tindakan mereka ini. Perspektif saya terhadap organisasi ini telah berubah selepas peristiwa ini. Bagi saya mereka ini sama sahaja dengan seteru mereka yang cuba menegakkan benang yang basah dengan menafikan kebenaran dan cuba menutup kelemahan diri dengan menggunakan tindakan yang tidak sepatutnya. . Mungkin yang berbeza ialah perjuangan kedua-duanya tetapi pembawaannya adalah sama. Justeru jika difikir-fikirkan semula, mereka ini tiada bezanya walaupun secara kasarnya nampak begitu yang membuatkan saya menganggap mereka ini "berbeza tetapi sama".

-Pendekar Laut Dalam-

Sunday, March 22, 2009

BERANI KERANA BENAR

Kau siapa? Itu yang sering berputar di minda saya sejak kebelakangan ini. Ternyata pandangan dan kefahaman saya tentang individu itu semakin jelas dan nyata. Pertama mengenali beliau saya amat hormat dan teruja, maklumlah beliau ‘orang besar dan berpangkat’ jika hendak dibandingkan dengan saya ini,apalah sangat cuma mempunyai Kriss Merah yang ayah saya belikan. Namun saya ternyata amat bersyukur kerana motosikal itulah yang menjadi teman saya sepanjang di UKM ini,alhmdulillah.

Apa yang menjadi kesalan dan hilang hormat saya kepada individu tersebut adalah selepas pertemuan terakhir saya dengannya beberapa hari lepas. Pada mulanya beliau bertanya kepada saya tentang aktiviti saya di masa lapang dan saya menjawab internetlah tempat saya meluangkan masa lapang. Alangkah terkejutnya saya apabila aktiviti saya ini dibangkang dan saya diberi ‘ceramah murahan’ oleh beliau. Kata-kata yang amat menyakitkan hati saya adalah ‘jika kau surf internet seperti kau menunggu duit bawah bantal,esok tak dapat duit kau marahkan jin yang kau puja semalam’. Sungguh biadap dan sangat tidak mencerminkan kecerdikan beliau kerana beliau mempunyai latar pendidikan yang tinggi. Apa kesalahan saya jika saya hendak mencari rezeki di interner? Mungkin disini rezeki saya. Siapa beliau yang hendak tentukan rezeki saya? Beliau bukan Tuhan yang menentukan rezeki saya. Beliau tidak ada hak untuk menyekat aktiviti saya untuk menjalankan perniagaan di internet. Perniagaan internet bukanlah aktiviti menunggu duit di bawah bantal. Orang gila mahupun dia tidak menunggu nasi jatuh dari langi.Setidaknya dia merayau dan berusaha mencari nasi basi di tong-tong sampah.Apatah lagi saya yang menjalankan perniagaan internet yang memerlukan usaha dan ilmu yang mencukupi sebelum saya berani terjun ke kancah perniagaan internet.

Saya seperti semua pejuang-pejuang HKO yang lain. Berani bersuara kerana kami tahu tindakan kami adalah benar dan kami tidak gentar untuk menyuarakan pandapat kami secara terangan. Saya berharap beliau sedar sebelum saya menunjukkan protes secara terangan.Ingat sebelum terlambat.

 

Ikhlas:

Pendekar Kanan

Wednesday, March 18, 2009

UKM dan JARING Yang Bocor

Salam reformasi saya ucapkan. Semoga hari ini memberi keberkatan dan kebahagiaan kepada anda semua. Mudahan begitulah hendaknya,Insyallah.

Pagi ini cuaca agak dingin jika hendak dibandingkan dengan pagi-pagi yang lain. Ada kabus menerjah ke bilik saya pagi ini (mungkin kesan akibat hujan semalam). Sesejuk begini alanglah indah dan bahagianya jika bertemankan orang yang paling kita sayang (bagi mereka yang sudah berkahwin) untuk kita mengukuhkan ikatan dan talian agar keserasian itu makin bertambah dan mewujudkan benih-benih cinta yang suci dan murni. Namun itu semua bukanlah menjadi keutamaan saya pada masa sekarang kerana saya masih bujang. Tidak mungkin akan ada keadaan seperti itu dan saya hanya akan bermimpi di malam hari dan terjaga ketika matahari menjenguk bilik.

Selepas memasang angan-angan(hampir 10minit lamanya) saya terus membuka laptop yang tersedia di atas meja. Hajat di hati ingin menyemak akaun(MoreNichi Affliate) dan mengemaskini laman blog yang sedia ada namun hajat itu terpaksa ditangguh. Tertangguh kerana masalah akses Jaring-UKM yang semakin hari semakin lembab dan dungu. Maaf jika saya menggunakan perkataan kasar kerana saya dan rakan-rakan HKO yang lain sering mendapat aduan daripada mahasiswa/i yang lain tentang masalah ini. Perkhidmatan berbayar ini sepatutnya memberi servis yang terbaik kerana setiap warga membayar untuk menggunakannya. Jadi untuk apa membayar bagi mendapatkan perkhidmatan yang cacat? Setiap warga khususnya mahasiswa/i di Kolej Zaba amat-amat merasai akan penderitaan ini. Cukuplah merompak duit kami dengan mengenakan yuran yang amat tinggi dan membebankan. Berilah kami satu kedamaian dengan member servis internet yang memuaskan.Janganlah mewariskan masalah ini kepada adik-adik kami nanti.Berilah mereka kesenangan.Itu sahaja yang kami pinta.

Saya berharap agar semua penggerak HKO mengambil hal ini secara serius dan kita sama-sama menanganinya secara bersepadu dan jitu. Semoga niat suci dan ikhlas kita ini mendapat keberkatan dari Yang Maha Esa. Salam Perubahan kepada semua.

Ikhlas daripada:

wancupie@gmail.com

Sunday, March 15, 2009

SEKAPUR SIRIH DARI MEJA PENGERUSI…


Assalamualaikum w.b.t

Syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah dan keizinannya dapatlah kita sama-sama menghidupkan kembali blog HKO (Haluan Kiri Organization) ini dengan penuh iltizam dan semangat bagi menyambung semula perjuangan kita yang tergendala seketika cuma. Alhamdulillah sekatan itu telah kita tempuh dan kita harunginya bersama. Terima kasih pejuang-pejuang HKO sekalian.

Tahun 2009 ini memperlihatkan pelbagai peristiwa dan senario menarik yang telah menggemparkan negara antaranya ‘Persidangan Bawah Pokok Negeri Perak’, ‘Perjuangan Penghapusan Pengajaran Bahasa Inggeris dalam Matematik dan Sains’ serta ‘Plihanraya Bukit-bukit Malaysia’ yang pastinya akan lebih meningkatkan lagi tahap kemasyuran Malaysia di mata dunia.

Namun apa yang lebih penting bagi HKO selaku badan bebas adalah membidas sikap kebiadapan manusia khususnya di UKM sendiri. Perkara ini amat penting sekali kerana jika HKO tidak mengambil inisiatif untuk memperbetul dan menegur, ancamannya kepada generasi pewaris UKM amatlah membimbangkan. Kita tidak mahu Mahasiswa UKM akan datang hanya menjadi ‘pak turut’ dek kerana kegagalan kita hari ini mencorakkan mereka ke jalan yang lurus dan benar.

Di kesempatan ini juga penulis ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada pejuang-pejuang HKO(anda boleh melihat mereka pada link yang disediakan),penaja-penaja serta penyokong-penyokong yang selama ini tidak pernah berpaling tadah dan terus setia kepada perjuangan HKO. Budi dan jasa kalian amatlah dihargai.Hanya ucapan terima kasih yang mampu penulis berikan. Sekali lagi ingin penulis nyatakan. Perjuangan kita adalah suci, Perjuangan kita adalah murni. Jangan lupa pada pesanan UKM ‘Ilmu dan Budi, Itulah Harga Diri’.

P/S: Memori Kem Ayer Keroh Melaka masih segar dalam ingatan. ‘Kedatanganmu Tak Diundang, Pemergianmu Tak Dihalang.

wancupie@gmail.com

Monday, March 9, 2009

Katakan Tidak Kepada Senioriti

Kami, pendukung HKO UKM dengan ini menyatakan bahawa, kami menolak sistem senioriti yang masih tebal semangatnya didalam kampus UKM. Amalan tidak bertamadun ini masih tebal diamalkan di Kolej-kolej Kediaman UKM. Dan masih menjadi 'undang-undang' utama Urusetia Pembangunan Sumber Manusia UKM, dan secara umumnya, sebagai individu, pasti ramai yang masih mendewakan amalan ini untuk kepentingan murahan masing-masing. Kami menentang barah ini sekurang-kurangnya kerana 5 perkara:-

1-Hubungan pelajar yang lebih junior bersama seniornya akan semakin jauh kerana seniornya sangat mementingkan 'protokol' dalam bergaul dengan junior.

2-Pelajar junior yang sebaya dengan pelajar senior pasti tidak selesa dengan 'peraturan' panggilan abang dan kakak senior.

3-Organisasi akan semakin goyah, kerana sistem batch masih kuat dianuti. Senior hanya mementingkan batch mereka sahaja.

4-Bakat kepimpinan junior tidak akan berkembang jika terpaksa menerima semua keputusan daripada abang-aband dan kakak-kakak senior.

5-UKM tidak akan mencapai perpaduan yang menyeluruh kerana para pelajarnya hidup didalam kelompok angkatan masing-masing.

Justeru kami menyeru kepada semua, ayuh, kita kuburkan fahaman jahat ini. UKM for UKM. Kita adalah sama. Ayuh kuburkan senioriti dan kuburkan juga organisasi yang menyokong senioriti.

*Isu ini nampak bagaikan picisan, tetapi jika kami tidak suarakan suara mahasiswa tahun 1 ini, siapa lagi. Berani Kerana Benar!!!

-Jurucakap HKO.

Sunday, March 8, 2009

Mari Kita Bangunkan Blog Ini Kawan-kawan HKO

HKO kembali lagi. Rakan-rakan batch 2007/2008, Blog B Kolej Pendeta Zaba, pasti masih ingat tentang HKO kan. Ianya digagaskan pada minggu pertama kita di UKM, sebagai protes kepada Pemudah Cara-Pemudah Cara Kolej Pendeta Zaba yang bertindak melanggar perikemanusiaan kepada kita semua. Disamping itu, kita gagaskan idea menentang kepada sistem yang sangat aneh seperti sisteem senioriti didalam UPSM. Tentu kalian masih ingat bukan. Diharapkan ukhwuah kita berkekalan.

Blog ini sudah lama tidak diupdate. Kita bangunkan semula jika dapat. Didalam kesibukan kita belajar, harapnya kita masih mampu menyumbang idea dilaman blog ini. Kepada penggerak HKO yang mempunyai password blog ini. Postkan sahaja tulisan anda disini. HKO adalah diri kita sendiri.

Kepada rakan-rakan yang lain, jika ada sebarang tulisan yang ingin dimuatkan disini, emelkan tulisan anda ke hko_ukm@yahoo.com jika bersesuaian, insyaallah kami akan publishkan. Blog ini mungkin tidak serancak blog-blog lain berikutan kekangan waktu para penulisnya. Namun rakan-rakan masih boleh lawati blog peribadi penggerak HKO yang sudah dilinkkan didalam blog ini untuk mengenali kami.

Kami bukan gerakan mahasiswa, kami juga tidak layak digelar aktivis mahasiswa, namun kami adalah suara mahasiswa, sekurang-kurangnya menjadi suara kepada diri kami sendiri. Selamat menghadapi cabaran rakan-rakanku.

-Mohd Adib Akmal FSSK